2 warga emas maut tersepit bawah pikap

KUCHING — Dua warga emas maut tersepit di bawah kenderaan yang mereka naiki selepas terbalik di Jalan Kampung Pelaie, Simunjan, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang, apabila kenderaan pacuan empat roda yang membawa 10 penumpang itu terbabas sebelum terbalik di tebing jalan.

Mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Blayau Datu, seorang wanita berusia 83 tahun dan Awang Pupon, 63.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.42 petang.

“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan kita mendapati dua mangsa masih tersepit di bawah kenderaan yang terbalik.

“Lima lagi penumpang selamat dan tiga cedera ringan. Dua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Jurucakap berkenaan berkata tiga mangsa yang cedera dihantar oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Munggu Lalang.

Katanya, mayat dua warga emas diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

BH ONLINE