Ahli farmasi Malaysia maut ditikam gelandangan skizofrenia di pangsapurinya di Melbourne

KUALA LUMPUR — Seorang ahli farmasi dari Malaysia didakwa dibunuh lelaki yang dipercayai menghidap skizofrenia di sebuah pangsapuri di Bellfield di timur laut Melbourne, Australia pada petang Rabu lalu.

Mangsa, Leong ‘KC’ Kum Chuan, 29, yang juga kakitangan di Eastern Health didakwa baru membeli pangsapuri berkenaan di mana dia ditemui mati oleh rakan sekerjanya.

Berdasarkan laporan diterbitkan agensi berita Australia, 7news.com.au/2, Leong ditemui mati oleh rakannya selepas dia gagal hadir ke tempat kerja.

“Leong dipercayai ditikam berulang kali pada malam Selasa oleh seorang gelandangan berusia 54 tahun dikenali Simon Hunter, 54.

“Hunter kemudian ditahan berhampiran blok tandas di taman di seberang jalan dari rumah mangsa pada Khamis, selepas polis menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sejurus bercakap dengannya,” kata laporan itu.

Laporan sama menyatakan, Hunter pada mulanya muncul di Mahkamah Majistret Melbourne melalui pautan video, mengintai melalui tingkap di pintu selnya di Balai Polis Heidelberg pada Khamis.

“Perbicaraan ditangguhkan apabila Majistret Tara Hartnett mengarahkan Hunter dibawa ke bilik yang lebih sesuai atau hadir sendiri ke mahkamah.

“Tidak berbaju dan berseluar pendek gelap, Hunter akhirnya dihubungkan dengan mahkamah dari bilik temu duga polis, di mana dia dilihat mengamuk semasa perbicaraan, menghamburkan kata-kata tidak jelas dan berjalan-jalan.

“Mahkamah dimaklumkan lelaki dituduh membunuh itu mengalami sakit belakang dan didiagnosis dengan skizofrenia, dengan peguamnya berkata Hunter tidak mengambil ubatnya dalam dua minggu,” katanya.

Agensi sama turut berkata, majistret mengarahkan Hunter supaya dicalit pada tangan dan jarinya untuk mendapatkan bukti DNA, selain memerintahkannya direman atas dakwaan membunuh lelaki Malaysia itu.

Sementara itu, keluarga Leong dilapor terbang ke Melbourne dari Malaysia pada Khamis, namun tidak menghadiri perbicaraan mahkamah.

Hunter kini direman dan akan kembali ke mahkamah pada 16 Januari depan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Eastern Health, David Plunkett memberitahu agensi berita bahawa pemergian Leong adalah satu kejadian yang tragis.

Plunkett berkata Leong akan diingati kerana semangat, kebaikan dan dedikasinya kepada pasukannya dan komuniti yang lebih luas”.

“KC (Leong) diiktiraf sebagai pemimpin berbakat dan juga mentor kepada ramai ahli farmasi kami yang baru muncul,” katanya.

BH ONLINE