TEMERLOH — Seorang gadis 20 tahun disedari hilang di hadapan rumahnya di Taman Temerloh Jaya di sini pada 6 Oktober lalu jam 11.15 malam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner, Mazlan Hassan berkata bapa gadis tersebut seorang pesara kerajaan melaporkan kehilangan anaknya pada 7 Oktober jam 3.15 pagi.
“Ayah gadis itu memaklumkan anak perempuannya, Nurul Aliya Zulkifli telah keluar membuang sampah kira-kira lima meter di hadapan rumah.
“Setelah agak lama bapanya mendapati anaknya tiada di hadapan rumah, dia mencari di hadapan rumah dan kawasan sekitar tetapi tidak bertemu anaknya,” katanya hari ini.
Ketika disedari hilang, gadis itu memakai blaus putih belang biru dan seluar hitam dan turut memakai sandal berwarna hitam warna putih.
Polis telah menjalankan pencarian sehingga sekarang dan masih belum menjumpai gadis berkenaan.
“Gadis tersebut setinggi 160 sentimeter (cm) dan berat 45 kilogram (kg) dan agak kurus serta berkulit kuning langsat. Sesiapa yang ada maklumat gadis itu boleh hubungi balai polis berhampiran,” katanya.
BH ONLINE