Kemalangan gara-gara pemandu ikut Waze, tiba-tiba belok kereta

PETALING JAYA — Memandu mengikut panduan aplikasi Waze dipercayai menjadi punca seorang pemandu membelok kenderaannya secara tiba-tiba sehingga terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal di Jalan 222 di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 3.36 petang itu membabitkan sebuah motosikal dengan kereta jenis Proton S70.

“Pemandu terbabit adalah seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang dikatakan membelok kenderaannya ke kiri secara tiba-tiba sehingga menyebabkan kemalangan dengan motosikal itu.

“Pemandu yang bekerja sendiri sebagai peniaga dalam talian itu sudah dikesan dan membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada kemalangan jiwa berlaku dan mangsa dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melalui talian 03-79662222.

BH ONLINE