Letak kepala khinzir atas kaunter roti canai, polis tahan 2 suspek

KUALA LUMPUR — Polis mengesahkan dua suspek ditahan susulan video tular yang memaparkan dua lelaki meletakkan kepala khinzir di sebuah kedai makan yang didakwa berlaku di bandar Teknologi Kajang, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Nazron Abd Yusof, berkata dua lelaki tempatan berusia 35 dan 51 tahun itu ditahan pada 15 Oktober lalu susulan kejadian itu.

Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 298/427 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Semalam video mengenai tindakan dua lelaki terbabit meletakkan kepala khinzir di premis kedai makan berkenaan tular selepas dikongsi pemilik akaun ‘X update11111’ melalui platform media sosial X.

Dalam pada itu, Nazron mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.30 malam 11 Oktober lalu, sebelum video berkenaan tular.

“Pengadu iaitu seorang lelaki berusia 18 tahun, memerhati rakaman CCTV di kedainya di Bandar Teknologi Kajang.

“Rakaman itu menunjukkan dua individu tidak dikenali memakai baju hitam dan topi keledar hitam dan merah memasuki kedai dan meletakkan kepala khinzir di atas kabinet dan kaunter roti canai milik pengadu,” katanya melalui kenyataan.

Tambahnya, siasatan lanjut dijalankan bagi mengumpul bukti berkaitan kes ini termasuk motif suspek.

Sebarang maklumat berkaitan kes tersebut boleh terus ke balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Sarjan Ahmad Faizal Bin Hasan di talian 019-7691924 untuk membantu siasatan.

BH ONLINE