Mangsa bot meletup meninggal dunia

KANGAR — Seorang nelayan yang cedera parah kerana melecur selepas bot dinaiki terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis pada Khamis lalu, meninggal dunia pagi tadi.

Mangsa, Nur Azman Abu, 45, yang melecur hampir 88 peratus di anggota badannya meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, jam 8 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, berkata kematian Nur Azman disahkan oleh Pegawai Perubatan HTF, Dr K Kavenraj selepas mangsa terpaksa ditidurkan sejak Jumaat lalu.

“Punca kematian disebabkan luka lecur yang parah di keseluruhan badan mangsa.

“Seorang lagi rakan mangsa yang turut terbabit dalam kejadian itu masih lagi dirawat di HTF untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 malam Khamis lalu, Nur Azman dan rakannya, Mohdmad Bakri Idham, 54, cedera kerana melecur disambar api selepas bot fiber yang dinaiki meletup dan terbakar di pelantar ikan Kampung Tanah Baru.

Ketika kejadian, penduduk kampung di kawasan itu sedang sibuk menguruskan kediaman mereka yang sedang dimasuki air akibat fenomena air pasang besar yang berlaku di beberapa kawasan di Kuala Perlis.

Ketika kejadian berlaku, mangsa sedang bersiap-sedia melakukan persiapan untuk ke laut menangkap ikan dan ketika hendak membuat persiapan itu, mangsa membuat pemeriksaan bot dengan memastikan minyak, bateri dan kelengkapan bot yang lain lengkap sebelum bertolak.

Namun, apabila mangsa membuka penutup ruangan simpanan bateri, secara tiba-tiba berlaku letupan sehingga mengakibatkan kebakaran pada bot itu.

Api dari letupan berkenaan menyambar kedua-dua mangsa mengakibatkan mangsa terbakar.

BH ONLINE