KUALA LUMPUR — Seramai 10 mangsa terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang maut, dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter yang terbabit dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pagi ini.
Dua helikopter yang terdiri model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi.
Berdasarkan video yang tersebar, kedua-duanya dipercayai bertembung ketika hendak membentuk formasi penerbangan raptai lintas hormat yang dirancang berlangsung di ruang udara Pangkalan TLDM Lumut.
Susulan pertembungan berlaku, kedua-dua pesawat terbabit hilang kawalan sebelum terhempas.
Pesawat HOM terhempas di tangga Stadium TLDM Lumut, mana kala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
Ketika kejadian, pesawat HOM membawa empat kru dengan tiga penumpang, manakala Fennec membawa tiga kru.
Setakat ini, tiada mangsa yang terselamat dalam nahas itu.
BH ONLINE