3 maut, lebih 30 cedera apabila timbunan mercun meletup di Odisha, India

NEW DELHI — Sekurang-kurangnya tiga orang maut dan lebih 30 lagi cedera selepas timbunan mercun meletup semasa perayaan agama Hindu di negeri Odisha, timur India, kata polis pada Khamis.

Stok simpanan itu meletup malam Rabu semasa perayaan di bandar kuil Puri, kira-kira 63 km ke selatan Bhubaneswar, ibu kota Odisha.

Polis berkata ratusan orang berkumpul untuk menyaksikan upacara tersebut.

Menurut polis, letupan itu tercetus apabila serpihan daripada mercun terbakar yang dicetuskan oleh sekumpulan penganut tiba-tiba terkena stok simpanan.
Letupan yang mengeluarkan berbilang serpihan itu melanda ramai orang berhampiran, sekali gus menyebabkan mereka cedera, sebahagian daripada mereka kritikal.

“Kami mempunyai laporan bahawa antara yang cedera setakat ini, tiga orang telah meninggal dunia dan lebih 30 yang lain sedang menjalani rawatan di hospital berbeza,” kata seorang pegawai polis.

Ketua Menteri Odisha Naveen Patnaik melahirkan rasa dukacita atas kemalangan itu dan mengarahkan pegawai yang berkenaan untuk memastikan rawatan sewajarnya terhadap mangsa cedera.

Dia juga mengumumkan pelepasan wang sebanyak 4,802 dolar AS kepada setiap keluarga yang kehilangan ahli dalam kemalangan itu.

XINHUA