4 sekeluarga mati hangus di Kerala India

NEW DELHI — Empat sekeluarga mati hangus pada Sabtu selepas kebakaran berlaku di dalam rumah mereka di negeri Kerala, selatan India, kata polis.

Kebakaran berlaku di rumah di Angamaly di daerah Ernakulam, kira-kira 234 km ke utara Thiruvananthapuram, ibu kota Kerala.

“Awal pagi tadi panggilan kecemasan mengenai kebakaran di dalam sebuah rumah kediaman diterima kira-kira jam 5:20 (waktu tempatan), selepas itu anggota bomba dikejarkan ke lokasi. Kebakaran telah berlaku di tingkat dua rumah dan empat ahli keluarga ditemui mati terbakar,” kata seorang pegawai polis. “Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan mayat dipindahkan dari rumah ke hospital untuk bedah siasat.”

Menurut pegawai, mangsa dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri berusia empat puluhan dan dua anak perempuan mereka berusia lapan dan lima tahun.

Punca kebakaran sedang dipastikan. Bagaimanapun, siasatan awal dijalankan polis menunjukkan litar pintas mungkin menyebabkan kebakaran.

XINHUA