Bas Thailand kini dibenarkan bawa pelancong negara itu ke seluruh Malaysia – MOT

KOTA BHARU — Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, bas dari Thailand kini dibenarkan memasuki semua negeri di Malaysia dengan membuat permohonan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Menterinya, Anthony Loke, menjelaskan kebenaran kemasukan itu tidak terhad kepada negeri berhampiran sempadan sahaja.

“Perkara ini sudah diputuskan menerusi mesyuarat baru-baru ini dan mana-mana bas dari Thailand dibenarkan masuk. Mereka hanya perlu membuat permohonan kepada APAD sebelum permit sementara dikeluarkan.

“Bagaimanapun, bas dari Thailand terbabit perlu mengemukakan maklumat tertentu termasuk pakej pelancongan yang diambil, bilangan penumpang serta lokasi penginapan.

“Yang kita sekat adalah van dari Thailand kerana dibimbangi mereka masuk ke Malaysia dan akan mengambil penumpang menyebabkan industri pelancongan kita terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan fasa satu projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini, hari ini.

BH ONLINE