Wanita maut jatuh kondominium

SANDAKAN — Seorang wanita maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat 23 sebuah kondominium di Jalan Buli Sim Sim di sini, malam tadi.

Warga tempatan berusia 47 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan kaki.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian jam 8 malam.

“Siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai jatuh dari tingkat 23 berdasarkan rakaman litar tertutup (CCTV) lif kondominium itu yang mendapati wanita terbabit keluar dari lif di tingkat berkenaan.

“Siasatan juga mendapati wanita itu bukan penghuni kondominium berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siasatan masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

BH ONLINE