Suami maut ditikam isteri akibat selisih faham

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas maut akibat ditikam isterinya di sebuah pangspuri di Kajang, dekat sini, semalam dipercayai berpunca daripada perselisihan faham.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata laporan berhubung kejadian itu diterima pihaknya pada jam 11.05 pagi tadi.

Katanya, kejadian didapati berlaku di depan kediaman suami isteri terbabit dan mangsa yang meninggal dunia adalah seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala isterinya iaitu seorang wanita tempatan berusia 59 tahun ditahan untuk siasatan.

“Pasukan forensik polis yang menjalankan siasatan di lokasi merampas pisau yang disyaki digunakan untuk menikam mangsa serta beberapa sampel barang kes lain untuk siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Naazron berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang berlaku antara suami isteri terbabit.

Katanya, semakan mendapati pasangan itu sudah berkahwin selama 37 tahun sejak 1988, dan mangsa yang maut bekerja sebagai kontraktor manakala isterinya tidak bekerja.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang dan hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 12.30 tengah hari, tadi mendapati kematiannya berpunca daripada tikaman beberapa kali.

“Suspek kini direman lima hari bermula hari ini sehingga 21 Februari depan untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh),” katanya.

Naazron berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohamed Hafeez Hamzah di talian 019-6556536 bagi membantu siasatan.

BH ONLINE