Lelaki lebih mudah terdedah kepada penipuan skim pelaburan

KUALA LUMPUR — Satu kajian analisis tingkah laku mengenai kerentanan pelabur terhadap penipuan skim pelaburan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendapati lelaki lebih mudah terdedah kepada penipuan.

Kajian analisis itu yang dijalankan oleh SC pada 2023 menunjukkan 384 orang atau 30 peratus daripada 1,302 responden yang ditinjau didapati lebih mudah terdedah kepada penipuan dengan 59 peratus daripada jumlah itu adalah lelaki.

Kajian berkenaan juga mendapati golongan belia berumur antara 31 tahun hingga 40 tahun juga lebih mudah terdedah, mewakili 34 peratus daripada 384 responden itu.

Mengikut kumpulan pendapatan pula, didapati isi rumah B40 dengan pendapatan kurang RM5,000 dilihat lebih mudah terpedaya, mewakili 44 peratus.

“Kajian analisis itu juga mendapati 70 peratus (daripada 384 responden yang mudah terdedah kepada penipuan skim pelaburan) mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan diploma,” menurut suruhanjaya itu dalam Laporan Tahunan SC 2023.

SC berkata, kajian itu juga menunjukkan bahawa kumpulan yang paling berisiko berpaut kepada keluarga dan rakan untuk membuat keputusan pelaburan daripada bergantung pada pertimbangan, pengalaman dan pengetahuan mereka sendiri.

Malah, mereka juga didapati lebih mudah dipujuk untuk melabur apabila dipengaruhi individu tidak berlesen dan tidak berkelayakan.

BH ONLINE