Angka maut lombong emas runtuh di barat Mali meningkat kepada 50

BAMAKO – Runtuhan lombong emas dikendalikan secara haram di barat Mali pada Sabtu mengorbankan 50 orang, kata seorang pegawai tempatan pada Ahad.

Tragedi itu berlaku di Bilalkoto, sebuah kampung di komune Dabia, di daerah Kenieba, wilayah Kayes.

Seorang pegawai tempatan memberitahu Xinhua dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, runtuhan itu dicetuskan oleh mesin Caterpillar yang jatuh ke lombong di mana sekumpulan orang bekerja mencari emas. Operasi menyelamat telah selesai, dan tiada siapa yang masih terperangkap di bawah runtuhan. Seramai 49 wanita dan seorang lelaki kehilangan nyawa dalam kejadian itu.

Perdana Menteri Mali Abdoulaye Maiga berkata pada malam Ahad, kerajaan akan mengambil langkah “tanpa henti” sebagai tindak balas kepada bencana perlombongan.

Mali adalah salah satu pengeluar emas utama Afrika. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan bergelut untuk mengawal selia aktiviti perlombongan haram, dan pelombong artisanal (kecil-kecilan) sering bekerja dalam keadaan yang sangat berbahaya, yang membawa kepada kemalangan perlombongan yang kerap dan sering membawa maut.

Pada 29 Januari, sebuah lombong emas runtuh di tapak perlombongan di kawasan Danga daerah Kangaba, wilayah Koulikoro, mengorbankan 13 orang.

XINHUA