CEO Kumpulan Encorp dituduh pecah amanah lebih RM1juta

SHAH ALAM — Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Encorp Berhad, Hazurin Harun didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua tuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM1 juta berhubung perlombongan silika, tahun lalu.

Bagaimanapun, lelaki berusia 54 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama, Hazurin didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran berjumlah RM350,000 kepada LMC Mining Sdn Bhd, melalui satu cek bank Encorp Construction & Engineering Sdn Bhd bagi penghantaran 20,000 metrik tan mineral Kaolin dari tapak perlombongan di Chemor, Perak.

Wang itu diamanahkan kepadanya bagi tujuan membuat pembayaran berkenaan penghantaran Silika Kuarza secara berperingkat dari tapak perlombongan sama di sebuah bank di Sunway Giza, dekat sini, 21 Jun 2023.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran berjumlah RM700,000 kepada LMC Mining Sdn Bhd melalui pindahan atas talian ke akaun bank syarikat itu bagi tempahan 50,000 metrik tan kapal dagang daripada Pelabuhan Lumut, Perak ke Nantong, China dan sewaan kapal untuk menghantar pasir silika.

Wang itu diamanahkan bagi tujuan membuat pembayaran berkenaan penghantaran Silika Kuarza secara berperingkat dari tapak perlombongan di Kinta, Perak di sebuah bank di Sunway Giza, dekat sini, 15 September 2023.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan keseluruhan RM50,000 bersama seorang penjamin dan melaporkan diri kepada pejabat SPRM setiap awal bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Aizul Rohan Anuar mewakili tertuduh tidak membantah jaminan itu.

Datuk Mohd Nasir kemudiannya membenarkan jaminan RM50,000 dan syarat dipohon pendakwaan serta menetapkan sebutan semula kes 7 Januari ini.

Sebelum ini, Encorp menggantung tugas Hazurin bagi memudahkan siasatan dalaman berkaitan dakwaan yang dibuat dibuat SPRM.

Malah, SPRM mengesahkan penahanan tiga individu termasuk seorang GCEO berusia 40 hingga 50 tahun kerana disyaki penyelewengan RM1.5 juta dana milik syarikat tersenarai awam.

Dua suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berusia antara 40 hingga 50 tahun direman empat hari sehingga 12 Ogos lalu.

Mereka disiasat kerana penyelewengan dalam projek pembinaan dan perlombongan bernilai kira-kira RM80 juta.

BH ONLINE