Dakwa amal ilmu hitam, Rosmah saman pemegang akaun TikTok RM1 juta

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor menuntut ganti rugi RM1 juta daripada seorang pemegang akaun TikTok yang disamannya berkaitan rakaman video yang mengaitkan beliau dengan amalan ilmu hitam.

Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menuntut jumlah itu dalam afidavit difailkan pada prosiding taksiran ganti rugi yang perlu dibayar Ku Muhammad Hilmie Ku Din, selepas percaya kenyataan fitnah yang terkandung dalam rakaman video itu memusnahkan kredibiliti, nama baik dan reputasinya, selain memberi gambaran beliau gagal mempraktikkan nilai Islam.

Dalam laporan disiarkan portal FMT, peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, berkata afidavit difailkan Rosmah di Mahkamah Tinggi tahun lalu sudah diserahkan kepada defendan terbabit, namun ia tidak dibalas.

Semalam, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Salleh menetapkan 27 Mei depan bagi pendengaran kes berkenaan dan mengarahkan peguam mewakili Rosmah menghantar hujahan bertulis dua minggu sebelum tarikh pendengaran.

Rosmah, 72, memfailkan saman berkenaan pada 19 September 2023.

Dalam saman itu, Rosmah mendakwa defendan memuat naik video dalam akaun TikTok enam bulan sebelum itu yang mengandungi kenyataan palsu dan fitnah terhadapnya.

Katanya, kenyataan disangkal itu menuduhnya melakukan perbuatan berdosa dan membabitkan upacara membabitkan syaitan dan bomoh, selain mendakwanya mengamalkan syirik.

Rosmah berkata, kenyataan itu merosakkan reputasinya sebagai isteri perdana menteri keenam dan pelbagai pertubuhan dinaunginya di Malaysia.

Rosmah turut mendakwa ia mengakibatkan beliau dipandang negatif oleh orang ramai, diejek dan dihina, selain mencemarkan nama baik sebagai tokoh masyarakat dikenali.

Saman itu menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan.

Pada 28 Mei 2024, Ahmad Shahrir membenarkan Rosmah membuat penghakiman ingkar terhadap Ku Muhammad selepas dia gagal memfailkan kehadiran dan membela diri dalam saman berkenaan.

Hakim juga mengarahkan ganti rugi yang perlu dibayar di bawah penghakiman itu ditentukan mahkamah.

BH ONLINE