Dua maut, seorang parah jatuh kren di Putrajaya

PUTRAJAYA — Dua pekerja warga Indonesia maut manakala seorang lagi parah selepas dipercayai terjatuh daripada kren, ketika melakukan kerja mengecat bangunan kuarters di Presint 8 di sini, pagi tadi.

Pada kejadian kira-kira 9.20 pagi itu, ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berada dalam bucket kren tersebut untuk mengecat bangunan, terjatuh daripada ketinggian aras tujuh bangunan berkenaan, selepas kren itu terbalik.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Sukawan Wilkhan, 54, dan Danianto Yusak, 53, manakala seorang lagi rakan mangsa dikenali sebagai Yasin, 56, cedera parah.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila jek hidraulik jentera terbenam dalam tanah dan menyebabkan kren hilang keseimbangan lalu terbalik.

“Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa berada di atas bucket kren untuk kerja mengecat bangunan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Aidi Sham berkata semua mangsa kini dibawa ke Hospital Putrajaya bagi rawatan serta bedah siasat.

Sementara itu, Pengarah Bomba Wilayah Persekutuan Putrajaya, Abdul Manaf Che Isa berkata seramai 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 dan 14, dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 9.30 pagi.

“Anggota membantu Kementerian Kesihatan dan polis mengangkat mangsa untuk dibawa masuk ke dalam ambulans dan kenderaan polis.

“Anggota turut melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan cat di lokasi kejadian dengan menggunakan satu aliran air daripada tangki jentera sehingga selesai,” katanya.

Abdul Manaf berkata seorang anggota bomba yang berada di luar penugasan turut membantu sewaktu awal kejadian, dengan memberikan bantuan kecemasan menerusi Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) kepada mangsa terlibat.

“Siasatan kes berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya sambil menambah operasi di tempat kejadian berakhir pada 10.57 pagi.

BH ONLINE – BERNAMA