PUTRAJAYA — Bekas peguam, N Pathmanabhan dan dua lagi kekal dihukum gantung sampai mati atas kesalahan membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi pada 2010.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim mahkamah persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat bersama Datuk Nordin Hassan, Datuk Abu Bakar Jais.
Dalam penghakiman itu, Tengku Maimun yang membacakan keputusan berkata panel sebulat suara menolak permohonan dan hukuman mati terhadap mereka dikekalkan.
Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, dibunuh dengan kejam bersama-sama tiga rakan yang lain di Morib, Selangor pada September 2010. Mayat dibuang dan dibakar di ladang ternakan ayam dekat Tanjung Layang, Morib.
Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan hukuman mati dikekalkan kepada dua pemohon iaitu Pathmanabhan, 55, dan T Thilaiyalagan, 33.
“Permohonan ditolak, hukuman gantung dikekalkan,” katanya yang bersidang bersama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.
Dua pemohon itu memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.
Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai budi bicara untuk mengenakan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali bagi pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun.
Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, seorang lagi pemohon R Kathavarayan, 44, yang pada mulanya menfailkan permohonan semakan yang sama menarik balik permohonan itu hari ini.
Justeru, hukuman mati terhadap bekas pekerja ladang itu kekal seperti diputuskan Mahkamah Persekutuan pada 16 Mac 2017.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Tetralina Ahmed Fauzi manakala peguam Manjeet Singh Dhillon mewakili Pathmanabhan serta Thilaiyalagan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad.
Pada 23 Mei 2013, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi semua perayu hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pembantu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Mereka didapati bersalah melakukan kesalahan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, di Banting, Selangor antara jam 8.30 dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Pada 4 Disember 2015, Pathmanabhan, R Matan, 33, Thilaiyalagan dan Kathavarayan gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.
Dua tahun kemudian, iaitu 16 Mac 2017, Pathmanabhan, Thilaiyalagan, dan Kathavarayan kekal ke tali gantung, selepas sekali lagi rayuan mereka ditolak Mahkamah Persekutuan.
Bagaimanapun, Matan bernasib baik apabila rayuan pekerja ladang itu dibenarkan dan dia dilepas dan dibebaskan oleh lima panel hakim yang bersidang kerana kekurangan bukti berhubung kes pembunuhan itu.
BH ONLINE