PETALING JAYA – Saksi pendakwaan ke-16 memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa dia ada terserempak dua kali dengan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dalam pakaian berbeza pada hari kanak-kanak autistik itu dilaporkan hilang, 5 Disember 2023.
Suri rumah, Rashidah Rajali, 37, yang tinggal di aras sama dengan ibu bapa arwah Zayn Rayyan di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai berkata, kali pertama dia berselisih dengan Ismanira Abdul Manaf pada jam 12.15 tengah hari ketika mahu menghantar anak sulung ke sekolah.
Rashidah yang tinggal di blok berkenaan sejak 2013 memaklumkan perkara berkenaan ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin.
Raja Zaizul: Apa berlaku pada 5 Disember?
Rashidah: Pada hari itu lebih kurang jam 12.15 tengah hari saya buat rutin macam biasa hantar anak pertama ke sekolah, saya terserempak ibu Zayn Rayyan (Ismanira) di tangga, selepas itu saya terus hantar anak ke sekolah, dalam jam 12.35 tengah hari saya balik dan terjumpa ibu Zayn Rayyan nak turun ke tingkat satu.
Raja Zaizul: Selepas itu?
Rashidah: Saya berselisih dari tingkat paling bawah ke tingkat atas, lepas itu saya terus balik ke rumah. Saya dihubungi suami jam 12.45 tengah hari dan diberitahu adik Zayn Rayyan hilang.
Saksi itu berkata, dia melihat Ismanira dalam dua pakaian berbeza selang 20 minit kemudian.
Raja Zaizul: Masa puan jumpa mula-mula pada 12.15 tengah hari, puan ingat pakaian dia?
Rashidah: Dia pakai tudung warna hitam, baju warna putih, kain atau seluar macam palazzo warna hitam
Raja Zaizul: Kali kedua ingat tak pakai baju apa?
Rashidah: Saya tak ingat keseluruhan, tudung bercorak yang warna sedikit gelap
Raja Zaizul: Adakah pakaian pada jam 12.15 tengah hari dan 12.35 tengah hari sama?
Rashidah: Tak sama, lain.
Raja Zaizul: Masa dia berhenti bagi laluan ada tengok muka dia?
Rashidah: Dia tunduk
Raja Zaizul: Dia ada bawa apa-apa?
Rashidah: Dia galas beg sekolah warna biru merah.
Perkara itu dimaklumkan saksi itu pada hari ketujuh prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi ibu bapa arwah Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Saksi sama juga memberitahu mahkamah, dia tidak pernah melihat arwah Zayn Rayyan bermain di taman permainan di sekitar apartmen itu.
Raja Zaizul: Kenal adik Zayn Rayyan?
Rashidah: Kenal tak kenal, tapi pernah nampak.
Raja Zaizul: Anak-anak puan pernah main dengan dia?
Rashidah: Tak pernah, Zayn tak pernah bermain di luar.
Raja Zaizul: Puan tahu ke kenapa Zayn Rayyan tak pernah main kat luar?
Rashidah: Saya tak pasti
Raja Zaizul: Kenapa cakap Zayn tak pernah main di luar, boleh terangkan kenapa kata begitu?
Rashidah: Anak saya selalu main basikal di luar koridor, tetapi saya tak pernah nampak Zayn main.
Raja Zaizul: Anak puan ada main dekat taman permainan?
Rashidah: Pernah, anak selalu main dan saya teman main kat luar.
Raja Zaizul: Selalu main jam berapa?
Rashidah: Petang.
Raja Zaizul: Masa main petang pernah tak tengok Zayn main di taman permainan itu?
Rashidah: Tak pernah.
Raja Zaizul: Masa puan kata rutin harian hantar dan ambil anak sekolah, ada tak nampak Zayn di taman permainan?
Rashidah: Tak pernah.
Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding bersambung esok.
BH ONLINE