LAHAD DATU — Jenazah anak perempuan Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Haji Khamis, di sini, hari ini.
Jenazah Nur Arisya Zafrina Dzulbaharin, 14, dikebumikan kira-kira jam 5.30 petang sebaik selesai proses bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Lahad Datu.
Jenazah mangsa yang juga anak bongsu daripada empat orang adik beradik itu disembahyangkan di Masjid At Taqwa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mangsa dan keluarga, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinian Jais.
Terdahulu, Shahurinain memaklumkan kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, selepas siasatan mendapati tiada unsur jenayah dikesan dalam kes ini.
Selain itu, katanya polis turut merampas sepucuk pistol semi automatik jenis Walther P99 yang dikaitkan dengan kejadian berkenaan.
Nur Arisya dipercayai tertembak diri sendiri menggunakan pistol milik bapanya di rumah mereka di Taman Tabanak, Lahad Datu, semalam.
BH ONLINE