Jurulatih renang didakwa lakukan amang seksual fizikal pada budak lelaki 5 tahun

KUALA LUMPUR — Seorang jurulatih renang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun tiga bulan, minggu lalu.

Ng Gwan Ho, 27, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap kanak-kanak berkenaan bagi tujuan seksual di sebuah sekolah renang di Taman Sri Bintang, Sentul di sini, kira-kira jam 5.40 petang 7 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Atiqa Nazihah Azmi, mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh tidak mendekati mangsa, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah hingga kes selesai.

Peguam, Azlan Shah Abd Razak yang mewakili tertuduh, bagaimanapun memohon ikat jamin rendah atas alasan anak guamnya adalah anak tunggal dan perlu menjaga ibu tidak bekerja.

Hakim, Azrul Darus, kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan kes.

BH ONLINE – BERNAMA