Kemalangan maut kedua babit treler selang 3 hari, kali ini di Machap

KLUANG — Seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk treler di Kilometer 69.5, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Machap, kira-kira 7.40 pagi tadi.

Ini adalah kemalangan maut kedua membabitkan treler dalam tempoh tiga hari selepas di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam yang menyaksikan seorang wanita terbunuh akibat dihempap kontena.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I KUP Abd Rahim Razali berkata penunggang Yamaha MT09 berusia 33 tahun itu disahkan meninggal di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Katanya, pemandu kereta Honda Civic dikesan tersepit di tempat duduk, sebelum berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Keluaran Operasi (PKO) peralatan khas.

“Kemalangan membabitkan sebuah lori treler jenama Volvo seberat 40 tan dengan sebuah kereta Honda Civic dan motosikal Yamaha MTO9.

“Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian mangsa dan kemudian mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pemandu lori treler Volvo, seorang lelaki berusia 40 tahun, selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Dua lelaki dewasa berusia 25 dan 26 tahun yang menaiki Honda Civic mengalami kecederaan. Mereka dihantar ke hospital oleh orang awam yang berada di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Abd Rahim berkata operasi menyelamat dilakukan oleh 12 anggota dengan kekuatan dua jentera bomba jenis FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dan BBP Ayer Hitam.

Terdahulu, PKO tiba di tempat kejadian pada jam 8.36 pagi dan berjaya menamatkan operasi pada jam 9.11 pagi.

BH ONLINE