Lelaki disyaki tikam isteri direman seminggu

IPOH — Lelaki yang disyaki membunuh dengan cara memukul dan menikam isterinya dengan disaksikan anak mereka dalam kejadian di Laluan Simee 11, Kampung Simee, di sini, semalam direman tujuh hari sehingga 19 Jun depan.

Perintah reman terhadap suspek berusia 56 tahun itu ditetapkan Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan ketika suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

Reman itu adalah bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh.

Lelaki terbabit ditahan di lokasi kejadian kurang sejam selepas polis menerima maklumat orang awam pada jam 9.26 pagi mengenai seorang wanita berusia 48 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, suspek dipercayai memukul isterinya itu termasuk di bahagian kepala sebelum menikam mangsa beberapa kali susulan pertengkaran yang berlaku antara kedua mereka.

Mangsa ditemukan terbaring di kawasan garaj rumahnya dengan tiga kesan tikaman di dada dan kecederaan di bahagian kepala, dengan kejadian itu turut disaksikan anak perempuan pasangan itu yang berusia 12 tahun.

BH ONLINE