PASIR MAS — Seorang lelaki maut selepas tertimbus tanah pada kedalaman 6.1 meter (m) ketika menggali perigi di Kampung Gelam Tok Uban, di sini, jam 6.17 petang tadi.
Mangsa, Mohamad Khairul Jeffry Maarof, 23, ditemui oleh pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pasir Mas yang turut dibantu orang awam menggunakan jengkaut pada jam 7.15 malam ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Mohd Azmi Hussin, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam dan bergegas ke lokasi sebelum mendapati terdapat mangsa tertimbus.
“Mangsa yang ditemui disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Berdasarkan maklumat, mangsa baru siap menggali telaga berkenaan dan mahu menurunkan gegelung konkrit, namun tebing telaga tiba-tiba runtuh sebelum menimbus mangsa.
“Sepasukan 10 anggota bomba membantu mencari mangsa yang tertimbus selain turut dibantu oleh beberapa penduduk kampung,” katanya.
BH ONLINE