JEMPOL – Lima maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 6, Jalan Bahau-Rompin, dekat di sini, jam 9 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika kereta Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki 31 tahun bersama tiga penumpang dalam perjalanan ke arah Bahau.
“Di lokasi kereta Toyota Mark X yang dipandu lelaki berusia 51 tahun dikatakan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Axia menyebabkannya berpusing.
“Kemudian sebuah trak pikap jenis Ford Ranger yang dipandu lelaki berusia 43 tahun dari arah belakang dipercayai terlanggar Perodua Axia,” katanya.
Akibat kemalangan, pemandu Perodua Axia dan dua penumpang serta pemandu Toyota Mark X parah pada kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.
“Seorang lagi penumpang belakang berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Pilah,” katanya.
BH ONLINE