MCMC berhak tutup akaun media sosial pemilik bawah 13 tahun — Fahmi

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengingatkan golongan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka berusia bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata MCMC mendapati kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan berkenaan memiliki akaun media sosial.

“Kepada parents (ibu bapa) yang hadir pada malam ini, saya beri peringatan daripada MCMC, anak-anak di bawah 13 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun TikTok, Facebook, Instagram atau mana-mana akaun media sosial lain.

“Sekiranya ada (anak-anak bawah 13 tahun memiliki akaun media sosial), ibu bapa tolong maklum kepada saya, MCMC. Kita akan akan shut down (tutup) akaun tersebut,” katanya berucap pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Lembah Pantai 2024 di IWK Eco Park@Lembah Pantai di sini, malam ini.

Ketika ditemui pemberita, Fahmi menjelaskan, isu mengenai pemilikan akaun media sosial ketika ini adalah pihak media sosial menyerahkan sepenuhnya pendaftaran pembukaan akaun kepada pengguna tanpa kaedah pembuktian untuk memastikan usia mereka melebihi syarat dibenarkan.

Susulan itu, pihaknya mengadakan siri pertemuan dengan pihak berkaitan seperti Meta yang menguruskan aplikasi Facebook, Instagram dan WhatsApp serta pihak Telegram untuk mengemukakan perancangan mereka bagi menangani isu pemilikan akaun media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah usia 13 tahun.

“Kita lihat ada beberapa perkara daripada pihak media sosial yang perlu dimaklumkan kepada kita dahulu. Harapan saya menjelang awal Mei ini, akan ada pengumuman mengenai perbincangan dengan semua platform media sosial khususnya berhubung keselamatan dalam talian berkait kanak kanak,” katanya.

Sementara itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berharap orang ramai mengambil peluang mengukuhkan silaturahim, persahabatan serta perpaduan antara satu sama lain.

“Kita sebagai negara Malaysia memiliki kekuatan berdasarkan kemajmukan, kepelbagaian dan perpaduan malah tiada negara lain seperti Malaysia yang mempunyai komposisi kaum dan latar belakang seperti negara kita,” katanya.

BH ONLINE memetik BERNAMA