Pelanggaran hak asasi masih berleluasa di Malaysia – Amnesty International

KUALA LUMPUR — Amnesty International melaporkan kerajaan gagal memberikan komitmen bagi menambah baik undang-undang mengekang kebebasan bersuara serta mengancam ruang awam.

Selain itu, Amnesty International menerusi laporan tahunan kumpulan hak asasi manusia global bagi tahun 2023 dan 2024 memaklumkan kerajaan secara terus menerus melanggar hak asasi manusia.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Katrina Jorene Maliamauv berkata jika kerajaan benar-benar komited untuk meningkatkan taraf hak asasi di Malaysia, mereka perlu mengakui kelemahan serta bekerjasama dengan masyarakat sivil dalam memastikan dasar dan amalan diketengah selari dengan undang-undang dan standard hak asasi manusia.

Laporan itu turut menyatakan kebimbangan terhadap isu hukuman mati, kebebasan bersuara, keganasan polis, kematian tahanan, hak asasi pelarian dan pendatang, hak orang asal serta hak mendapatkan persekitaran yang sihat.

Malaysia kekal menjadi negara yang mempertahankan hukuman mati walaupun ia tidak lagi menjadikannya sebagai mandatori.

“Menghapuskan terus hukuman mati akan menunjukkan iltizam kerajaan Malaysia terhadap hak asasi dan menjadi contoh dan kepimpinan yang diperlukan di rantau ini.

“Malaysia perlu meletakkan moratorium dan segera meringankan semua hukuman mati sebagai langkah ke depan dalam memansuhkan hukuman itu sepenuhnya,” katanya.

BH ONLINE