Pensyarah kanan didakwa kemuka tuntutan palsu RM22,866

KUANTAN — Seorang pensyarah kanan sebuah universiti awam didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan kerana mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM22,866 empat tahun lalu.

Tertuduh, Abd Aziz Mohd Azoddein, 57, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Abd Aziz yang bertugas di Fakulti Sains dan Teknologi Industri universiti itu didakwa mengemukakan penyataan palsu atas nama Gomogi Consulting mengenai pembelian bekalan untuk penyelidikan berjumlah RM12,340 tetapi bahan itu tidak dibekalkan.

Pertuduhan kedua, bapa kepada enam anak itu didakwa mengemukakan dokumen atas nama Gomogi Consulting berjumlah RM1,200 sebagai bayaran penginapan tiga hari di sebuah hotel untuk program latihan tetapi bayaran penginapan itu tidak wujud.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengemukakan dokumen mengandungi penyataan palsu atas nama Greentel Solution Enterprise untuk penghantaran barang bernilai RM9,326.20 untuk program latihan.

Bagaimanapun, bahan terbabit tidak dibekalkan kepada tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Bendahari universiti itu antara 15 Disember 2020 dan 15 Disember 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai kesalahan yang dilakukan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Rif’ah Izzati Abdul Mutalif manakala Abd Aziz diwakili Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.

Muhammad Asraf mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Amirull Afiqq merayu jumlah ikat jamin minimum kerana tertuduh masih dalam perkhidmatan dan perlu menanggung isteri, dua anak yang masih belajar, seorang adik lelaki yang lumpuh dan seorang saudara iaitu ibu tunggal.

Amirull Afiqq memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya hanya dimaklumkan mengenai pertuduhan itu beberapa hari lalu dan hanya mampu mengumpul RM15,000 untuk ikat jamin.

Sabri membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri ke pejabat SPRM berhampiran serta menetapkan 27 Ogos untuk sebutan semula kes.

BH ONLINE