TEMERLOH — Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas merempuh belakang sebuah pikap yang berhenti secara mengejut, selepas pemandunya cuba mengelak seorang wanita melintas lebuh raya.
Kemalangan berlaku di Kilometer 98.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Satu, dekat susur keluar Lanchang, dekat sini, jam 4.45 petang semalam.
Video nahas berkenaan tular di media sosial.
Mohd Haziq Ramli berusia 34 tahun yang menunggang Suzuki GSX-R1000 adalah seorang pemuzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), maut di tempat kejadian akibat nahas itu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mazlan Hassan berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila seorang wanita berusia 35 tahun yang memandu sebuah jip telah berhenti di tepi jalan dan melintas jalan dari sebelah kiri ke kanan jalan.
“Akibat perlakuan wanita itu, sebuah pikap telah membrek secara mengejut.
“Dalam masa sama datang sebuah motosikal dari arah belakang terus merempuh bahagian belakang pikap tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Penunggang motosikal terjatuh di lorong laju manakala motosikal mangsa tercampak ke atas bahagian belakang pikap.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu wanita tersebut yang berhenti di bahu jalan dan melintas jalan,” katanya.
Katanya, satu tangkapan telah dibuat terhadap wanita tersebut untuk siasatan lanjut pada jam 4.40 petang semalam.
“Penumpang jip seorang warga China berusia 35 tahun turut ditahan di Pejabat Trafik Temerloh untuk ditahan reman,” katanya.
BH ONLINE