Pihak fitnah kerajaan isu projek kasino patut dihukum penjara – Anwar

PUTRAJAYA — Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihak yang memfitnah dengan mendakwa kerajaan mahu membuka kasino di Forest City, Johor, patut dikenakan tindakan undang-undang termasuk dihukum penjara.

Perdana Menteri sekali gus menyifatkan mereka yang mencetuskan isu berkenaan sebagai ‘tiada modal lain’ kerana sengaja membuat tohmahan dan mencipta fitnah sesuka hati.

“Tidak ada modal lain… kononnya Anwar sudah meluluskan kasino di Johor. Apa benda ini… tidak pernah saya dengar, tidak pernah orang usulkan dan Yang di-Pertuan Agong (Sultan Ibrahim) tidak pernah memaklumkan kepada saya untuk ada kasino serta perjudian di sana.

“Jadi (tohmahan) ini dari mana? Daripada penjahat-penjahat sebenarnya. Jadi, mereka ini sebenarnya (boleh) ganti (masuk) bilik-bilik saya di (Penjara) Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 bertema ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

BH ONLINE