Polis minta bantuan orang ramai kesan pencuri pakaian dalam wanita

TELUK INTAN — Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki yang disyaki mencuri pakaian dalam wanita di Taman Melor 2 di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berhubung kejadian itu pada jam 10.55 pagi.

“Berdasarkan laporan yang diterima, wanita itu menyedari pakaian dalamnya yang disidai di ampaian di ruang parkir rumahnya hilang.

“Wanita itu kemudiannya memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tamannya. Dalam rakaman itu, kelihatan seorang lelaki tidak dikenali mengambil pakaian dalam miliknya di ampaian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya beredar dari rumah wanita itu dengan menunggang motosikal.

“Pihak polis memohon orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk tampil di mana-mana balai polis untuk menyalurkan maklumat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 347 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 kanun sama,” katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 34 saat di media sosial menunjukkan seorang lelaki yang menunggang motosikal berhenti di pagar sebuah rumah lalu mencuri pakaian dalam wanita yang disidai di ampaian pada jam 3.24 pagi.

Suspek kemudian bergegas meninggalkan rumah itu dengan menunggang motosikalnya. Difahamkan, suspek turut meninggalkan mesej berbaur lucah.

BH ONLINE