Remaja meninggal dunia di stadium, tidak sempat tonton KDA FC lawan JDT

ALOR SETAR — Remaja lelaki berusia 18 tahun rebah sebelum meninggal dunia sebelum menyaksikan perlawanan bola sepak antara pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan Johor Darul Takzim (JDT), di Stadium Darul Aman, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, remaja lelaki itu rebah sewaktu berada di tempat duduk penonton di stadium berkenaan pada jam 7 petang.

“Remaja terbabit datang ke stadium berkenaan bersama adiknya untuk menyaksikan perlawanan bola sepak antara KDA FC dan JDT itu dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri sewaktu berada di tempat duduk penonton sebelum perlawanan bermula.

“Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertugas di stadium untuk membawa remaja berkenaan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.

“Sewaktu tiba di Zon Kecemasan HSB, pegawai perubatan kemudian mengesahkan remaja itu sudah pun meninggal dunia.

“Hasil semakan dan temubual terhadap waris mendapati remaja itu adalah seorang pengidap sakit jantung sejak kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Salawati berkata, pihak perubatan HSB juga mengesahkan sebab kematian sebagai “Complex Cyanotic Heart Disease” iaitu berkait sakit jantung yang dihidapi.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kematian remaja tersebut pada jam 8.18 malam.

“Siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

BH ONLINE