SHAH ALAM — Seorang penumpang e-hailing warga Bangladesh maut, manakala rakannya dan pemandu kereta berkenaan cedera dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Bestari, Kapar di Klang, tengah hari tadi.
Kereta terbabit dipandu lelaki tempatan yang sedang menjalankan perkhidmatan e-hailing dan membawa dua penumpang berkenaan ketika nahas yang dilaporkan kepada bomba jam 12.46 tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Klang Utara bergegas ke lokasi kejadian
“Kemalangan melibatkan sebuah lori dan kereta jenis Proton Persona yang dipercayai kenderaan e-hailing, dipandu seorang lelaki tempatan membawa dua lelaki warga Bangladesh.
“Akibat kemalangan itu, seorang penumpang yang tersepit di tempat duduk belakang maut di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, rakan mangsa yang maut dan pemandu kereta mengalami kecederaan lalu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan berkenaan tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berdekatan atau Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327.
BH ONLINE, 7:16PM