“Setiap saat saya mengenangkan nasibnya di China”

“Setiap saat saya mengenangkan nasibnya di China”

PASIR PUTEH — Bapa Umi Azlim hari ini menzahirkan harapan untuk berjumpa dengan anak perempuannya, Umi Azlim, yang sedang menjalani hukuman penjara di Guangzhou, China sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Umi Azlim, 40, yang ditahan pada 2007 dan dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan mengedar dua kilogram heroin, bakal dibebaskan pada 2030 selepas hukumannya diringankan dan diganti dengan penjara seumur hidup.

Lazim Jusoh, 67, berkata pada 2022, Umi Azlim memaklumkan bakal dibebaskan pada 2030 ketika kali terakhir berhubung dengan ibu saudaranya, Noraini Jusoh, 55, yang menetap di Johor.

“Sekiranya dibebaskan kelak, usianya sudah 46 tahun dan saya ketika itu jika umur panjang akan berusia 73 tahun.

“Walaupun lama tidak berhubung dengan dia, saya berdoa dan tidak melupakannya. Setiap saat saya mengenangkan nasibnya di China,” kata warga emas itu kepada pemberita di rumahnya di Taman Desa Anda di sini, hari ini.

Lazim yang menghidap penyakit kencing manis, tidak lagi berupaya melakukan kerja-kerja berat.

Ketika ditahan, Umi Azlim berumur 23 tahun dan baru menamatkan pengajian dalam bidang Sains Biologi di Universiti Malaysia Sabah.

Teks berita & foto: BH ONLINE memetik BERNAMA/ Tajuk: Popular2u