Tanah runtuh mengorbankan empat sekeluarga di wilayah pantai Ecuador

QUITO – Sekurang-kurangnya empat orang maut dan seorang lagi cedera pada Isnin dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Manabi, barat Ecuador berikutan hujan lebat pada Ahad, kata Sekretariat Pengurusan Risiko Kebangsaan.

Tanah runtuh awal pagi itu meruntuhkan sebuah rumah di bandar Portoviejo, kata agensi itu menerusi media sosial.

“Sekretariat Pengurusan Risiko Kebangsaan telah mengaktifkan sumber diperlukan dan memantau keadaan kecemasan secara berterusan,” kata pihak berkuasa.

Jabatan Bomba Portoviejo menjalankan operasi menyelamat, dan kakitangan kerajaan tempatan sedang membersihkan kawasan itu dan mengumpul maklumat untuk menilai kerosakan dan menentukan tindakan selanjutnya.

Menurut pihak berkuasa tempatan, empat mangsa yang maut adalah semua ahli satu keluarga, membabitkan pasangan suami isteri dan dua anak perempuan mereka – seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan bayi enam bulan, yang sedang tidur apabila tanah runtuh menimbus rumah di bawah lumpur.

Kawasan di mana tanah runtuh itu berlaku dianggap berisiko tinggi berikutan hujan lebat pada Ahad yang melemahkan tanah.

Kematian terkini meningkatkan angka kematian kepada sembilan sejak ribut musim sejuk bermula pada 1 Januari, menurut data dari Sekretariat Pengurusan Risiko Kebangsaan.

Wilayah paling teruk dilanda tanah runtuh, banjir dan angin ribut membabitkan Guayas (barat daya), Chimborazo (tengah), Manabi (barat), Cotopaxi (tengah), Los Rios (tengah), Esmeraldas (utara) dan Zamora Chinchipe (selatan).

XINHUA