KUCHING – Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh yang menimbus dua rumah di Kampung Lereng Bukit, Miri, di utara Sarawak awal pagi tadi, ditemui lewat petang ini.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata mayat kelima itu dikenali sebagai Fatimah Dawi, 71, ditemui pasukan mencari dan menyelamat jam 6.06 petang.
Katanya, mayat warga emas itu dibawa keluar dari kawasan runtuhan pada jam 6.26 petang sebelum dihantar ke Hospital Miri.
“Secara keseluruhannya 12 individu dikenalpasti tinggal di dua rumah yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh berkenaan.
“Daripada jumlah itu, lima disahkan meninggal manakala dua lagi cedera. Mangsa yang cedera termasuk seorang ditemui di tempat kejadian manakala yang lain menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
BH pagi tadi melaporkan enam penghuni dua rumah di Kampung Lereng Bukit di Miri dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh, awal pagi ini.
Mangsa dipercayai dua wanita dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki. Daripada 12 penduduk yang terbabit, tujuh mendiami rumah bernombor Lot 287 A manakala bakinya di Lot 287 B.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.58 pagi.
Mengulas lanjut, Alexson berkata mayat pertama tragedi tanah runtuh itu ditemui jam 6 pagi manakala kedua jam 10.40 pagi, ketiga (11.30 pagi) dan keempat (11.40 pagi).
Setakat lewat petang tadi, identiti empat lagi mangsa yang terkorban itu belum didedahkan.
Semalam, seramai 273 penduduk yang mendiami 32 rumah di Kampung Lereng Bukit ini diarah berpindah apabila runtuhan tebing Bukit Kanada, menjejaskan kediaman mereka.
BH ONLINE