KUALA LUMPUR — Pihak pendakwaan menegaskan 12 kes pengubahan wang haram dan lima tuduhan mengelak cukai yang dikenakan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor, dibuat mengikut peruntukan undang-undang.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dalam hujahannya berkata, 17 pertuduhan jenayah itu sah dan mengandungi butiran mencukupi bagi memaklumkan Rosmah mengenai kesalahan yang didakwa dilakukannya.
Ahmad Akram yang berhujah bagi menjawab permohonan Rosmah untuk membatalkan kesemua tuduhan itu, berkata, ia bagi memboleh isteri bekas perdana menteri itu mengemukakan pembelaan sewajarnya.
Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 2013 dan 2018.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN pula, dia didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.
Rosmah didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.
Sementara itu, Ahmad Akram menyangkal hujahan peguam bela Rosmah bahawa pertuduhan yang dihadapi tertuduh adalah cacat kerana ia bertindih, dengan alasan membabitkan subjek yang sama.
Ahmad Akram berkata, hujahan pembelaan itu bagaimanapun, gagal mengiktiraf prinsip undang-undang asas yang mengawal kaedah pertuduhan dirangka dalam prosiding jenayah.
“Pertuduhan yang dipersoalkan itu tidak bertindih, dan juga tidak cacat, sebaliknya ia mencerminkan tindakan jenayah yang berbeza.
“Setiap satunya berlaku pada masa yang berbeza, dan setiap satu memerlukan pertuduhan berasingan untuk menangani sepenuhnya skop kelakuan tertuduh,” katanya.
Ahmad Akram berkata, jika pihak pendakwaan ingin menyatukan semua pertuduhan ini,ia tidak menggambarkan kesalahan yang didakwa dan menjejaskankeperluan undang-undang bagi merangka.dakwaan yang tepat dan berasingan bagi setiap perbuatan salah laku.
Sementara itu, Peguam, Amer Hamzah yang mewakili Rosmah, menghujahkan bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atas anak guamnya itu cacat dan salah di sisi undang-undang, serta menegaskan bahawa Rosmah harus dibebaskan.
Ahmad Akram bagaimanapun membalas hujahan itu dengan menyatakan. apa sahaja yang dibangkitkan oleh pembelaan adalah pra-matang pada peringkat ini dan sepatutnya dipertimbangkan oleh mahkamah ketika perbicaraan berlangsung.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Hakim K Muniandy kemudian menetapkan pada 19 Disember ini untuk membuat keputusan.
BH ONLINE