Warga emas korban banjir pertama di Terengganu

BESUT — Seorang lelaki warga emas ditemui lemas ketika memukat ikan dalam kawasan sawah padi di Jalan Kampung Pinang, Kampung Raja di sini, hari ini.

Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, sebelum itu dilaporkan pergi ke kawasan sawah padi itu pada jam 8.15 pagi untuk memukat ikan bersama tiga lagi rakannya.

Bagaimanapun, ketika melakukan aktiviti mengangkat pukat di kawasan berkenaan, mangsa dilaporkan hilang sebelum rakan berusaha untuk menyelamatkannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 9.08 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, seorang lelaki dewasa dipercayai lemas ketika memukat ikan di kawasan sawah padi.

“Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jertih dikejarkan ke lokasi mangsa lemas untuk bantuan BBP Besut,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, anggota bomba membuat ‘surface searching’ menggunakan bot dan dibantu bot penduduk kampung.

“Mangsa ditemui oleh anggota bomba jam 10.10 pagi di lokasi lemas. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

BH ONLINE