Arab Saudi mengambil bahagian dalam London Design Biennale ke-4 dengan pavilion bertajuk “Woven” (Tenun) yang direka dan dicipta oleh pereka terkemuka Ruba Alkhaldi dan Lojain Rafaa.
Sepanjang 25 hari biennale, yang bermula 8 Jun, permaidani sepanjang 50 meter akan ditenun oleh pengunjung Pavilion Saudi, berdasarkan amalan tenunan tradisional Al-Sadu yang digunakan secara sejarah oleh wanita Badwi di Teluk.
Ini adalah kali pertama negara (Arab Saudi), yang diwakili oleh Suruhanjaya Seni Bina dan Reka Bentuk — sebahagian daripada Kementerian Kebudayaan — telah mengambil bahagian dalam pameran tahunan dengan paparan interaktif berskala besar.
“Kami menerima panggilan jemputan untuk penyertaan bagi membolehkan ramai pereka kami berpeluang mempamerkan hasil kerja mereka,” Dr Sumayah Al-Solaiman, Ketua Pegawai Eksekutif suruhanjaya itu, memberitahu Arab News, sambil menambah bahawa respons itu “menunjukkan bagaimana, sekarang, ada legasi yang kami sedang bina.”
Dia menyambung: “Seni tenunan tradisional juga sangat berpandangan ke hadapan, dalam erti kata bahawa ia adalah reka bentuk kolaboratif di mana setiap benang yang kini dimasukkan ke dalam kanvas tenunan adalah sejenis cap masa tentang perkara yang penting pada masa depan kita. Dan membenarkan semua peserta yang ingin menjadi sebahagian daripada ini untuk bersuara dan memberitahu kami apa yang penting bagi mereka,” tambahnya.
Pemasangannya terdiri daripada mesin tenun yang besar dan paparan visual.
Peserta boleh memilih untuk menganyam satu daripada lima benang warna yang berbeza.
Lima warna, menurut kurator, mewakili inovasi, alam semula jadi, kerohanian, pengetahuan, dan kesejahteraan.
Sumayah berkata salah satu tujuan suruhanjaya itu adalah untuk mempamerkan kekayaan budaya Arab Saudi.
“Jika kita melihat seni tradisional, seni bina tradisional dan bagaimana semua itu mempengaruhi kebangkitan budaya kita pada masa ini, ia adalah masa yang menakjubkan untuk kita mempunyai kepelbagaian suara ini dan mempamerkannya.”
Dia berkata sambutan terhadap pavilion itu “sangat positif,” dan dia teruja untuk melihat hasilnya, kerana ia akan mencipta warisan yang kemudiannya boleh dipamerkan di tempat lain.
Tema biennale tahun ini ialah “The Global Game: Remapping Collaborations” dan Sumayah merasakan bahawa “Woven” sangat sesuai dalam bidang itu.
“Apabila anda menyusun semula kerjasama, memikirkan masa lalu, masa kini, bahkan kemudian juga masa depan, saya fikir kerja ini benar-benar menyatukan semua itu,” katanya.
Strategi suruhanjaya itu sejajar dengan Wawasan Saudi 2030 dan bertanggungjawab untuk “mengawal selia dan meningkatkan” sektor seni bina dan reka bentuk, tambahnya.
Ini termasuk penglibatan komuniti, pembangunan bakat, sumbangan keluaran dalam negara kasar, kepelbagaian ekonomi, penyelidikan, dan meraikan produk arkitek dan pereka Saudi di peringkat nasional dan antarabangsa.
Ruba, yang merupakan ahli strategi inovasi reka bentuk, berkata dia memberi tumpuan kepada bagaimana reka bentuk boleh memacu inovasi masa depan.
Pemasangan interaktif kolaboratif itu, katanya, satu platform di mana pemikiran dan persepsi peserta tentang masa depan “akan diikat dan disambungkan melalui apa yang kita panggil fabrik kemanusiaan.”
Ruba berkata bahawa mereka diilhamkan oleh Sadu kerana ia adalah kraf yang diketuai oleh wanita nomad yang berkuasa di padang pasir yang mempunyai sumber terhad namun mencipta pelbagai cara untuk memasang dan mencipta fabrik.
“Fabrik itu, pada akhirnya, memberi kesan kepada kami dari segi sosial, budaya dan pada tahap seni bina dan seni – ia termasuk dalam khemah, di rumah dan ia masih sebahagian daripada budaya kami sekarang,” kata (wanita) berusia 34 tahun dari Dammam itu.
“Ia adalah simbol revolusi dan kami mahu mencipta semula rasa revolusi itu dalam pengalaman London Design Biennale.”
Ruba menambah bahawa dia dan Rafaa juga diilhamkan oleh Wawasan Saudi 2030, yang memberi tumpuan kepada mewujudkan komuniti yang inovatif di Arab Saudi dan menggalakkan orang ramai berkongsi pemikiran dan pendapat mereka, dan pemasangan itu bertujuan untuk menunjukkan sifat mesra negara mereka.
“Kami cuba memberitahu orang ramai bahawa kami mengalu-alukan pendapat dan pemikiran (orang lain) dan (yang kami mahu) membentuk masa depan secara global, bukan hanya dalam negara,” jelasnya.
Victoria Broackes, pengarah biennale itu, berkata tema pemetaan semula kerjasama adalah mengenai menyatukan negara-negara, bangsa dan bandar — untuk mempamerkan disiplin dan idea yang berbeza serta mencari cara kerja baharu.
“Pameran yang kami ada di sini dari Arab Saudi, Abu Dhabi dan Dubai jelas menunjukkan bagaimana idea-idea ini tidak datang dari satu jenis disiplin – ia datang daripada pelbagai orang dan jenis orang yang bekerja bersama,” katanya. AN