ISTANBUL — Tiga pendatang tanpa izin maut dan tiga lagi hilang selepas terjatuh dari bot getah ke Laut Aegean di luar pantai wilayah Aydin Turkiye, lapor media tempatan pada Jumaat.
Menurut NTV, kemalangan itu berlaku dekat bandar pesisir pantai Kusadasi apabila bot yang membawa pendatang gagal mematuhi amaran “berhenti” daripada pasukan keselamatan.
Ketika bot cuba melarikan diri, beberapa orang pendatang jatuh ke dalam laut. Pengawal Pantai menyelamatkan 32 individu dan menemui mayat tiga yang lain.
Laporan itu menambah bahawa tiga orang masih hilang ketika operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
Laporan awal menunjukkan pendatang cuba menyeberang secara haram ke pulau Greek.
Laut Aegean telah lama menjadi laluan utama bagi pendatang yang cuba sampai ke Eropah melalui Turkiye.
Sebagai salah satu destinasi utama dunia untuk pelarian, Turkiye kini menjadi tuan rumah kepada lebih 4 juta pendatang, yang majoritinya adalah warga Syria, menurut Direktorat Komunikasi Kepresidenan.
XINHUA